YAYASAN
BUDIMAN UiTM

Atas hasrat segolongan bekas pelajar UiTM untuk menzahirkan rasa kesyukuran dan terhutang budi kepada institusi ini yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara, maka pada tanggal 25 Ogos 1999 tertubuhlah sebuah Yayasan yang kini dikenali sebagai Yayasan Budiman UiTM (YBUiTM).

Yayasan ini telah ditubuhkan dengan matlamat antaranya mahu memastikan manifestasi kesyukuran yang tersirat ini dapat dibuat menerusi aktiviti-aktiviti amal untuk kebajikan dan manfaat pelajar-pelajar UiTM yang memerlukan, juga untuk UiTM sendiri dan golongan masyarakat yang kurang bernasib baik.
YBUiTM telah menetapkan agenda utamanya seperti berikut:

a. Mengutip dan mengurus dana untuk pembelajaran dan pendidikan (diberi dalam
bentuk dermasiswa);

b. Menaik taraf dan menolong golongan miskin untuk tujuan Pendidikan; dan

c. Memperkukuh dan memangkinkan jaringan ahli-ahli Alumni sedia ada.
Sejajar dengan matlamat dan agenda utama ini, pada tanggal 21 April 2000, Dana Yayasan Budiman telah dilancarkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad (Perdana Menteri ketika itu). Dana yang berfungsi di bawah Pengurusan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan akan menerima sumbangan dalam bentuk kewangan, kebendaan, kepakaran profesional dan sebagainya.

Semenjak 2005, Yayasan Budiman UiTM telah mengeluarkan Dermasiswa Yayasan Budiman UiTM kepada siswa- siswi yang menuntut di UiTM dalam pelbagai jurusan di peringkat Sarjana (sepenuh masa). Pihak Yayasan berhasrat untuk menambah bilangan dermasiswa untuk terus membantu lebih ramai lagi siswa-siswi UiTM yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan pengajian mereka di peringkat Sarjana.
Bermula pada semester 2023/2024 Yayasan Budiman telah memberi dermasiswa kepada pelajar-pelajar Ijazah Kedoktoran (sepenuh masa). Jumlah dermasiswa yang diberi adalah RM1000.00 per semester (mengikut tempoh pengajian seperti di surat tawaran)
Selain dari itu, bermula dari tahun 2004, Yayasan Budiman UiTM juga telah menyediakan peruntukan Anugerah Pingat Emas Yayasan Budiman UiTM kepada pelajar terbaik UiTM bersempena dengan Istiadat Konvokesyen UiTM. Ianya berterusan sehingga kini.

Diharap akan lebih ramai lagi para alumni UiTM di luar sana dapat bersama-sama dengan Yayasan Budiman UiTM menyalurkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan.
©2026 AlumniUiTM.my | All rights reserved.
(No. Pendaftaran: PPM-003-10-04072009)